Monday, February 14, 2011

Manfaatkan kelebihan telefon bimbit anda


Manfaatkan kelebihan telefon bimbit anda

Selain dari menyimpan nombor-nombor keluarga dan kenalan untuk dihubungi dalam telefon bimbit anda, apakah nombor-nombor lain atau maklumat yang anda simpan dalam telefon bimbit anda?

Saya siarkan semula posting berkaitan yang telah disiarkan pada 26 Jun 2007 dalam blog lama saya.

Bersedia menghadapi kecemasan. Bhg. 2

Selain dari teknologi terkini “hand phone” yang sarat dengan kelebihan-kelebihan email, internet, kamera, mp3 (mp4?), radio dan sebagainya, “hand phone” juga mempunyai ciri-ciri asas sebagai persediaan menghadapi kecemasan.

‘Speed dial” umpamanya. Selain dari anak, isteri, ibu bapa dan mungkin saudara rapat, nombor siapakah yang anda pilih untuk dimasukkan ke dalam lapan nombor pilihan “speed dial” ini? (Biasanya hanya lapan nombor; dari nombor dua hingga sembilan boleh ditentukan untuk “speed dial”).

Nombor sembilan (9) adalah paling sesuai untuk dipilih sebagai nombor kecemasan bagi “speed dial”. Pilih nombor telefon balai polis yang berdekatan (bukan nombor kecemasan 999).

Begitu juga kalau anak kecil atau orang tua anda menggunakan “hand phone”. Tentukan nombor sembilan itu khas untuk “speed dial” nombor balai polis yang berdekatan. Tetapi ingat jangan sampai anak kecil anda menyalahgunakan nombor telefon balai polis ini!

Jenuhlah juga saya mengajar kedua-dua orang tua saya menggunakan “hand phone” dan ciri-ciri “speed dial” ini. Ayah sememangnya “give up”, mujurlah ibu masih boleh menyesuaikan diri dengan teknologi sebegini.

Apakah maklumat yang anda simpan dalam “hand phone” anda, selain dari nombor-nombor telefon kenalan?

Saya pasti seperti kebanyakan anda, saya menyimpan nombor-nombor akaun bank, kad kredit, satu mesej lengkap dengan nama penuh, alamat, nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank (supaya senang dihantar jika diminta oleh pihak tertentu untuk membuat bayaran, rujukan dan sebagainya). Saya juga menyimpan nombor kad pengenalan isteri, nombor akaun bank isteri, nombor surat beranak anak, tarikh lahir dan sebagainya. Saya tabik hormat kalau ada suami (atau isteri) yang menghafal nombor kad pengenalan pasangan masing-masing. Maafkan saya, kadang-kadang bukan sahaja tarikh lahir isteri, tarikh lahir sendiripun boleh terlupa!

Ciri “reminder” (pengingatan) ini sebenarnya amat berguna untuk tarikh-tarikh seperti tarikh tamat insuran peribadi, kenderaan, lesen memandu dan sebagainya. Dokumen-dokumen perundangan sebegini perlu sah tempohnya jika ditakdirkan berlaku sebarang kecemasan yang berkaitan seperti kemalangan melibatkan kenderaan dan sebagainya.

Begitu juga nombor telefon yang kadang-kadang kita tidak terfikir kepentingannya seperti nombor telefon sekolah anak, syarikat insuran (ibupejabat, wakil atau cawangan), jiran sebelah rumah kita, jiran sebelah rumah orang tua, nombor tok ketua kampong, pengerusi R.T, imam atau siak surau dan masjid berdekatan. Jangan lupa nombor wad kecemasan hospital, balai bomba, syarikat ambulan swasta, klinik panel, pihak berkuasa tempatan, TNB, Lembaga Air, Telekom. Mungkin boleh dimasukkan satu dua nombor telefon kenalan isteri dan rakan-rakan rapat anak, malah ibubapa kepada rakan-rakan anak dan sebagainya.

Ada sesiapa yang kenal rapat dengan pihak pengeluar “hand phone” ini? Saya ingin mencadangkan dua lagi ciri kecemasan yang perlu ada di setiap “hand phone” iaitu amaran kecemasan “siren” yang mana jika ditekan nombor-nombor tertentu sebagai contoh; 991, “hand phone” itu berupaya mengeluarkan bunyi yang amat kuat yang boleh menakutkan sesiapa yang berniat jahat atau cuba mengganggu kita.

Satu lagi ciri yang saya rasa amat penting ialah lampu suluh. Setakat ini saya tinggal “bujang di minggu kerja” (berkeluarga di hujung minggu!) dan berseorangan di Taman Pertama, Changlun dan terpaksa membiarkan lampu kereta menyala menghala ke mangga kunci pada setiap malam untuk membukanya. Kalau ada ciri lampu suluh pada “hand phone” tentulah boleh menyelesaikan masalah ini. Ataupun “cari orang rumah” untuk tolong buka pintu dan nyalakan lampu “porch”. Jangan salah faham, maksud saya rakan serumah. Terus terang saya ingin membuat pengakuan seikhlas dan sejujur, “seorang isteri” pada saya sudah lebih dari mencukupi. Orang lelaki lain saya tidak pasti.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/


Apa yang boleh anda teladani dari berita ini?

MESTI PANTAS BILA ADA KECEMASAN
Mingguan Malaysia 13 Feb 2011
Oleh Noraini Abd. Razak

TAKTIK langgar dan samun bukan baru. Pemandu sering diingatkan supaya tidak berhenti jika kereta dilanggar tanpa sebab terutama pada waktu malam. Peringatan tersebut sering ditujukan kepada pemandu wanita.

Maklumlah orang perempuan perlu dilindungi, justeru keprihatinan terhadap wanita memang selalunya lebih. Apa lagi jika wanita yang kerjanya sering pulang lewat malam.

Kejadian langgar dan samun yang menimpa Pengarang Sukan Utusan Malaysia baru-baru ini ‘melebarkan’ lagi peringatan tersebut. Meor Harman tidak memberhentikan keretanya selepas dilanggar tidak jauh dari tol Rawang. Bagaimanapun ada tanda-tanya di hatinya apabila pemandu yang melanggar keretanya memberi nyalaan lampu seolah-olah mahu memberitahu sesuatu.

Malang sememangnya tidak berbau. Sebaik memberhentikan keretanya, dua daripada empat penjenayah itu keluar dan mendekati beliau. Lantas terjadilah seperti mana selalunya - beliau diacu parang dan keretanya dilarikan.

Malang Meor Harman sememangnya berganda pada malam tersebut. Selepas keretanya dilanggar, beliau menghubungi talian 999 sebanyak dua kali. Panggilannya dijawab dan disambung ke bilik kawalan.

Jawapan yang diberi petugas bilik kawalan berbunyi begini: ‘‘Bantuan akan sampai sebentar lagi, encik jangan ke mana-mana’. Sebelum itu beliau ditanya lokasi kejadian.

Selepas keretanya dilarikan, Meor Harman menghubungi 999 sekali lagi. Panggilannya disambungkan bilik gerakan. Beliau memberitahu: ‘‘Encik saya dah disamun.’’ Sekali lagi beliau ditanya lokasi kejadian selain perlu memperkenalkan diri sekali lagi dan diberitahu supaya jangan ke mana-mana.

Lokasi

Hampir sejam selepas panggilan pertama, kelibat kereta peronda polis di jalan bertentangan terlihat. Panggilan ke 999 dibuat sekali lagi untuk memaklumkan bahawa lokasinya adalah di jalan menuju ke Rawang dan bukannya arah ke Kuala Lumpur. Untuk menunggu kereta peronda itu membuat pusingan U mengambil masa menyebabkan dia menumpang motosikal ke tol Rawang. Di situ dia bertemu satu lagi polis peronda yang kemudiannya bertindak pantas menyelesaikan segala masalah.

Isu tersebut telah diulas dan dijawab pihak yang berkenaan. Dalam memberi penjelasan, orang ramai diingatkan supaya tidak bergantung kepada talian 999. Ingat nombor-nombor lain. Ingat nombor bilik gerakan. Tetapi dalam keadaan panik dan gementar, bukankah 999 adalah nombor paling segera melintas di fikiran. Nombor itu paling mudah diingati - sebab itu susunannya begitu. Nombor bilik gerakan mana yang perlu diingat? Jika seseorang tinggal di Rawang, adakah dia perlu mengingati atau menyimpan nombor bilik gerakan Rawang sedangkan malang yang tidak berbau boleh berlaku di mana-mana. Justeru mengapa dicadangkan nombor lain. Bukankah ia memperlekehkan talian kecemasan yang diwujudkan untuk memudahkan orang ramai meminta bantuan sejak berkurun lamanya.

Tentunya dalam hal ini, orang ramai mengharapkan pihak berkuasa memperbaiki sistem sedia ada. Jika talian 999 itu ‘melambatkan’ proses aduan atau untuk mengambil tindakan disebabkan ada beberapa lapisan, maka kurangkan lapisan itu. Semudah dan secepat mana nombor 999 itu disebut, maka urusannya juga harus mudah dan pantas.

Kita tidak memperkecilkan tugas anggota polis, tidak juga membesarkan kes Pengarang Sukan Utusan Malaysia. Keprihatinan adalah kepada semua mangsa jenayah yang sememangnya panik mencari bantuan ketika kecemasan. Mereka mesti diberitahu bahawa 999 adalah talian yang boleh dihubungi setiap saat dan ketika. Operator 999 akan menjawab panggilan anda. Tindakan segera akan diambil. Selepas itu baru disarankan supaya orang ramai turut menyimpan nombor bilik gerakan. Saranan seumpama itu mesti dimasukkan dalam iklan 999 yang ditayangkan di kaca televisyen. Pendek kata talian 999 mesti diangkat sebagai nombor kecemasan paling cekap bukan sebaliknya. Barulah kepercayaan orang ramai terhadap pasukan polis dapat dipertingkatkan.

1 comment:

  1. Salam Tuan,
    Bg sy nombor 999 kita mmg amat lmbt responnye. Pernah terjadi byk kali kemalangan jlanraya berdekatan dgn site sy n mangsa meninggal ditempat kejadian kerana bg sy tindakan yg lmbt oleh pihak terbabit wlaupn Hospital hny 3km shj.
    Teringt cerita mat saleh dimana apb di dial 911 akn trus dijawab "911, what is your emergency?" bkn ditny nama, ic, alamat etc...hmmm

    ReplyDelete