Wednesday, January 19, 2011

Perancangan awal perlu untuk sebarang aktiviti. Expect the best. Prepare for the worst


Perancangan awal perlu untuk sebarang aktiviti. Expect the best. Prepare for the worst

Ramai generasi muda yang tidak tahu mengenai tragedi runtuhnya Terminal Feri Sultan Abdul Halim pada 31 Julai 1988. Tragedi ini mengakibatkan kematian 32 orang dan mencederakan 1,674 orang. Dilaporkan tragedi ini berlaku akibat kesesakan orangramai yang ingin menaiki feri ke Pulau Pinang.

Ramai yang juga tidak tahu kesesakan ini adalah salah satunya berpunca dari mereka yang baru sahaja menghadiri Festival St. Anne di Bukit Mertajam dan kebanyakannya adalah penghujung luar dari Pulau Pinang yang ingin menghabiskan cuti hujung minggu mereka di Pulau Mutiara.

Saya difahamkan pihak berkuasa telah memaklumkan kesesakan akan terjadi kepada pertugas-pertugas mereka di jeti tetapi tiada sebarang cadangan tindakan yang perlu diambil untuk menangani sebarang permasalahan yang timbul.

Malah saya sendiri semasa terbabit merancang jadual tahunan seperti acara sukan bermotor, seminar, kursus dan sebagainya di Pulau Pinang (terutama di Seberang Prai) pernah terlepas pandang dengan Festival St. Anne yang diadakan tahunan setiap hujung minggu bulan Julai ini menyebabkan penganjur agak sukar mendapat bilik penginapan untuk peserta-peserta.

Pengunjung Festival St. Anne ini (terutama dari Singapura) sanggup menempah hotel sejauh Taiping dan Ipoh untuk mengunjungi Gereja St. Anne di Bukit Mertajam ini.

Tidak hairanlah mengapa Tragedi Terminal Feri Sultan Abdul Halim ini adalah salah satu bencana yang disenaraikan dalam Arahan No. 20, Majlis Keselamatan Dalam Negara.

Keprihatinan dan kepekaan pihak berkuasa masa kini dan dari masa ke semasa menghadapi acara tahunan seperti Festival St. Anne dan esok Hari Thaipusam amatlah dialu-alukan. Sebagai contoh, pihak polis umpamanya telah bersedia dengan alternatif-alternatif jalan yang akan ditutup dan sebagainya amatlah dihargai.



Tragedi terbaru mirip Tragedi Festival St. Anne ini ialah Tragedi Bon Om Touk iaitu perayaan tahunan di Phnom Penh, Kambodia pada 22 November 2010 iaitu hari terakhir festival. Tragedi penghujung terjadi dari atas jambatan (Rainbow Bridge) ke dalam Sungai Tonle Sap akibat bersesak sesama sendiri ini mengakibatkan kematian 456 orang. Dilaporkan setiap tahun Festival Bon Om Touk ini akan dihadiri oleh lebih sejuta pengunjung dan pelancong.

Perdana Menteri Kambodia ketika mengulas tragedi ini menganggapkan ianya bencana terburuk dan terbesar selepas kejadian pembunuhan beramai-ramai semasa pemerintahan Regim Khmer Rouge.

Dua contoh di atas adalah berkaitan dengan bencana dan juga persediaan dalam Emergency Response. Bagaimana pula dengan aktivit-aktiviti OSH yang melibatkan kehadiran atau penyertaan jumlah pekerja yang ramai?

Sebagai Pengurus atau Pegawai Keselamatan (Safety and Health Officer), antara peranan yang disyorkan ialah menganjurkan dan mengelola aktviti-aktviti berkaitan OSH. Ini adalah salah satu tanggungjawab untuk mempromosikan OSH itu sendiri.

Antara aktiviti OSH yang boleh diadakan ialah Hari atau Minggu Keselamatan, Kempen Keselamatan, Kempen Keselamatan Jalan Raya, Hari kesihatan, Hari Tanpa Rokok, Hari Alam Sekitar dan sebagainya.

Selain pengelibatan dari ahli jawatankuasa keselamatan kilang (Plant Safety Committee), pekerja-pekerja lain boleh dijemput untuk menganggotai jawatankuasa khusus aktivit-aktiviti OSH ini, Perancangan dan pembahagian kerja ahli-ahli jawatankuasa khusus untuk menjayakan aktivit-aktiviti OSH ini hendaklah dibuat seawal mungkin terutama yang melibatkan kelulusan dan pembelanjaan dari pihak pengurusan.

Di samping itu penetapan tarikh adalah elemen yang penting. Pastikan tarikh ini tidak bertembung atau bertindih dengan mana-mana aktiviti lain.

Di setiap organisasi yang saya bekerja, biasanya saya memilih hari Rabu sebagai hari aktiviti-aktiviti OSH. Elakkan memilih hari Isnin atau hari Jumaat iaitu hari pertama bermulanya hari kerja atau hari terakhir berakhirnya hari bekerja untuk diadakan hari aktiviti OSH ini.

Elakkan juga memilih hari yang terlalu hampir dengan hari-hari perayaan keagamaan ataupun cuti umum, termasuklah cuti persekolahan.

Pada masa yang sama, pengelibatan pihak majikanterutama dari pihak pengurusan tertinggi amat penting untuk menunjukkan komitmen mereka bersama-sama dengan pekerja untuk menjayakan aktiviti-aktiviti OSH ini. Pihak yang merancang perlu bijak mencari tarikh dan masa yang sesuai mengikut masa pihak pengurusan ini.

Ada juga syor agar mengelakkan aktiviti OSH ini diadakan sehari selepas hari gaji. Kemungkinan besar ramai pekerja mengambil cuti pada hari sehari selepas hari gaji untuk menyelesaikan urusan-urusan yang berkaitan.

Token atau cenderahati juga disyorkan sebagai salah satu tarikan pekerja. Boleh juga diberi token atau cenderahati yang mempunyai elemen OSH (sebagai contoh; lampu suluh) ataupun berlabel dengan slogan OSH. Pastikan token atau cenderahati ini diberi hanya kepada yang hadir atau yang mengambil bahagian dalam aktiviti OSH.

Meriahkan juga aktiviti-aktiviti OSH ini dengan menjemput “sumber-sumber luar” seperti pameran, demonstrasi dan ceramah dari JKKP, JAS, Bomba, Jabatan Kesihatan, JPAM dan sebagainya. Malah boleh dijemput sama pengedar-pengedar alat keselamatan diri (PPE) membuka gerai pameran dan jualan. Selain dari memeriahkan aktiviti, mereka ini juga biasanya mengedarkan pelbagai bahan dan juga cenderahati.

Publisiti dari media masa juga boleh dibuat untuk mempromosikan hari aktiviti. Jemputan tetamu disyorkan juga kepada industri-industri lain berdekatan termasuklah orang awam di sekitar.

Tiada maknanya kalau acara atau aktiviti OSH yang dirancang berjaya diadakan dengan bantuan dan pembelanjaan dari pihak pengurusan tetapi sambutan atau kedatangan pekerja pula amat mengecewakan.

Persediaan untuk menangani segala kemungkinan yang berlaku semasa menganjurkan dan mengelolakan aktiviti-aktiviti OSH ini. Seperti Safety Message (slogan) yang sering dipromosikan oleh Zig Ziglar iaitu (dalam semua perancangan) sentiasalah - Expect the best. Prepare for the worst.

Selamat menganjurkan dan mengelolakan aktiviti-aktiviti OSH. Pastikan pihak pengurusan menunjukkan (dan membuktikan) komitmen mereka dan pihak pekerja pula bersama-sama menjayakannya (employees involvement and participation).

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment