Wednesday, December 9, 2009

Jangan cepat panik ketika kecemasan dalam Smart Tunnel

Jangan cepat panik ketika kecemasan dalam Smart Tunnel

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
Kosmo, 1-Dis-2009

Apabila kenderaan mengalami kerosakan seperti tayar pancit, kekeringan air mahupun enjin tidak berfungsi, terdapat beberapa perkara penting yang harus dilakukan.


SEBANYAK 72 paparan skrin di dalam bilik kawalan trafik SMART memantau pergerakan pemandu.

JARUM jam menunjukkan pukul 12 malam. Skrin komputer yang memaparkan Pengesanan Insiden Automatik (AID) menerusi sistem Sistem Kawalan Pengawasan dan Pelaksanaan Data (SCADA) mula berkelip-kelip. Kelipan tersebut merupakan tanda amaran kepada para petugas di bilik kawalan trafik, Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn. Bhd. (SMART) bahawa satu insiden sedang berlaku di dalam terowong.

Tanpa melengahkan masa, para petugas terus meneliti 72 paparan skrin (barco wall) yang terpampang luas di dalam bilik itu bagi mengenal pasti lokasi insiden yang berlaku.

Daripada hasil pemerhatian, mereka mendapati terdapat sebuah kereta jenis Hyundai Sonata warna hitam sedang berhenti di laluan kecemasan. Dengan serta-merta, staf di bilik kawalan trafik mengeluarkan arahan kepada Pasukan Ronda SMART supaya segera memberi bantuan keselamatan kepada pemandu kereta tersebut.

Langkah tersebut penting supaya pemandu berkenaan tidak berasa cemas sekali gus dapat mengelakkan insiden lain yang tidak diingini berlaku di dalam terowong.

"Benar, kami perlu bertindak dalam tempoh lima minit sahaja. Sebaik sahaja menerima arahan daripada petugas di bilik kawalan trafik, kami (skuad peronda) mesti segera menemui pemandu yang mengalami masalah.

"Jika lambat...mungkin pemandu itu akan cemas dan panik. Lagi pun, segelintir pengguna SMART masih tidak mengetahui tindakan yang perlu mereka ambil apabila berlaku kecemasan yang melibatkan mereka di dalam terowong," kata seorang anggota skuad peronda SMART, Alzaahni Al- Malek, 32, kepada Kosmo!.

Menurutnya, apabila kenderaan mengalami kerosakan seperti tayar pancit, kekeringan air mahupun enjin tidak berfungsi, terdapat beberapa perkara penting yang harus dilakukan.

"Pemandu hanya perlu nyalakan lampu kecemasan, hubungi talian bantuan SMART dan tunggu di dalam kereta sehingga bantuan tiba.

"Jangan sesekali menunggu di luar kenderaan kerana ia boleh mengundang bahaya memandangkan laluan kecemasan hanya seluas dua meter sahaja," ujarnya yang hampir dua tahun telah berkhidmat dengan SMART.

Kata Alzaahni lagi, bagi pemandu yang tidak memiliki telefon bimbit, mereka disarankan keluar dari kenderaan dan cari pintu kecemasan yang terletak di setiap 250 meter di sepanjang terowong.

Menurutnya, di setiap pintu kecemasan tersebut, terdapat telefon kecemasan yang menghubungkan panggilan pemandu terus ke Pusat Kawalan SMART.

Bercerita lanjut mengenai langkah-langkah menyelesaikan hal kecemasan atau kerosakan kenderaan, sebaik tiba di lokasi insiden, petugas skuad akan meletakkan kon amaran di belakang dan di hadapan kenderaan. Ia bertujuan memberi peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memecut laju memandangkan di laluan kecemasan terdapat kenderaan rosak.

Kemudian skuad peronda cuba mengenal pasti punca masalah yang dialami pemandu. Sungguhpun begitu, segala kerosakan yang berlaku tidak dibaiki di dalam terowong. Sebaliknya, skuad peronda akan memaklumkan kepada bilik kawalan trafik supaya menghantar trak penunda kereta.

Terowong SMART menawarkan laluan alternatif yang lebih pantas untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur dan menghala ke selatan.

Bagi memberi keselesaan kepada pengguna SMART, skuad peronda sentiasa membuat tinjauan sepanjang terowong. Sepanjang proses pemeriksaan itu, skuad peronda akan meneliti perkara-perkara yang boleh mengganggu kelancaran operasi trafik yang menjejaskan keselamatan pengguna.

Salah satu sistem keselamatan yang dititikberatkan adalah binaan dek atas dan dek bawah yang mempunyai laluan sehala. Dek atas bermula dari Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur menuju ke Sungai Besi manakala dek bawah pula adalah laluan dari Sungai Besi yang menyusur keluar ke Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tun Razak.

Misi laluan sehala diwujudkan bagi mengelak kenderaan bertembung yang boleh mengakibatkan kemalangan. Sejak mula beroperasi, belum ada insiden yang melibatkan kehilangan nyawa berlaku di dalam terowong SMART. Kemalangan dan kerosakan kecil berjaya dikesan dengan segera di bilik kawalan trafik yang beroperasi 24 jam sehari.

Biarpun keselesaan sudah diberikan, namun segelintir pemandu masih tegar mempraktikkan pemanduan tidak berhemah. Papan tanda perangkap laju yang memberi amaran supaya tidak melebihi had laju 60 kilometer sejam seolah-olah satu perhiasan di dalam terowong semata-mata.

Menurut petugas Pasukan Ronda SMART, Mohd. Rasydan Abdullah, 32, kesan daripada kedegilan pemandu yang membawa laju tanpa memikirkan keselamatan pemandu lain boleh menyebabkan kereta hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan. Hasilnya perjalanan operasi terowong yang sepatutnya lancar akan mengalami kesesakan apabila pemandu terpaksa menggunakan satu laluan sahaja.

"Tidakkah perkara ini menyusahkan banyak pihak? Jika semua pemandu mematuhi had laju yang ditetapkan, sudah tentu kemalangan ringan mahupun kemalangan jiwa tidak berlaku. Perlu diketahui keluasan terowong SMART tidak sama dengan keluasan lebuh raya. Hanya kerana kecuaian seorang pemandu, ia boleh menyebabkan kereta lain menerima tempias.

"Lagipun, bukan suatu tugas mudah untuk menguruskan kemalangan di dalam terowong. Faktor keluasan terowong membuatkan kami perlu berhati-hati ketika menjalankan tugas. Jika tersilap langkah...,kami pun boleh dilanggar," kata Rasydan yang berharap pengguna SMART mengamalkan sikap berhati-hati.

Tegasnya, jika hal-hal kecemasan berlaku di lebuh raya biasa, skuad peronda boleh membantu mengalihkan kenderaan ke kawasan lapang atau bahu jalan. Tetapi di dalam terowong, situasi itu sukar untuk dilaksanakan. Justeru, jalan terakhir hanya perlu menunggu trak penunda kereta sampai ke lokasi kemalangan atau kerosakan kenderaan.

Mengenai perihal penundaan kereta, seorang petugas trak penunda SMART, Auseri Ahmad, 34, memberitahu sekiranya pemandu mengalami masalah kecil seperti kekeringan air, dia boleh membantu mengisi air. Tetapi, bagi kerosakan yang memerlukan tempoh masa yang lama untuk dibaiki, kereta pemandu akan ditunda keluar dari terowong terlebih dahulu.

Selain membawa kenderaan yang rosak di stesen minyak berhampiran secara percuma, Auseri yang berasal dari Mersing, Johor itu turut menyatakan mereka juga boleh menghantar kenderaan ke bengkel pilihan pemandu. Cuma penghantaran ke bengkel itu tidak boleh melebihi 30 kilometer dari terowong SMART dan ia dikenakan bayaran.

"Kami tidak boleh meninggalkan terowong dalam tempoh yang lama kerana perlu bersiap siaga. Saban hari, hanya dua trak penunda sahaja yang bertugas di dek atas dan di dek bawah. Jika kami melebihi jarak yang ditetapkan itu, ia boleh menimbulkan masalah sekiranya terdapat kemalangan dan kerosakan kenderaan lain di dalam terowong.

"Selain itu, perlu difahami bahawa perkhidmatan bantuan yang diberikan adalah percuma kecuali menunda kenderaan ke bengkel. Jadi, saya harap kehadiran kami untuk memberi bantuan tidak disalah erti oleh para pemandu," ujar Auseri kepada Kosmo!.

Penjelasan tersebut bertujuan membetulkan persepsi pemandu kepada kereta penunda SMART.

Beliau yang memiliki pengalaman selama lima tahun dalam bidang kerja menunda kereta pernah dimarahi pengguna SMART.

"Selepas menerima arahan dari bilik kawalan trafik, saya terus menemui pemandu yang mengalami kerosakan kereta. Malangnya, sebaik sahaja tiba di lokasi tersebut, pemandu berkenaan memarahi dan menghalau saya. Ini kerana pemandu tersebut menyangka kami penunda kereta haram (longkai)," ujarnya kesal.

DALAM tempoh lima minit, skuad peronda SMART tiba di lokasi untuk memberi bantuan.


MOHD. RASYDAN (kiri) dan Alzaahni sentiasa bersedia membantu pemandu yang dalam kecemasan.


PENGGUNAAN tangga disarankan apabila berlaku kebakaran di dalam terowong.


PENGGUNA yang tidak mempunyai telefon bimbit boleh menggunakan telefon kecemasan yang disediakan.

No comments:

Post a Comment