Monday, November 23, 2009

Kakitangan MAS – tidak bersedia atau tidak terlatih?


Gambar hiasan - Ruang Berlepas di KLIA

Kakitangan MAS – tidak bersedia atau tidak terlatih?

Kejadian seorang wanita Eropah yang pengsan di Ruang Berlepas Pintu B07 KLIA jam hampir 8.00 malam 22 November 2009 semalam (penerbangan MAS MH 1164 dari KLIA ke Pulau Pinang) mencetuskan persoalan sama ada kakitangan MAS yang bertugas di Ruang Berlepas ini sama ada tidak bersedia atau tidak terlatih untuk menangani kejadian sebegitu.

Kejadian berlaku beberapa minit sebelum laluan Pintu B07 itu dibuka pada jam 7.50 malam. Wanita Eropah tersebut dengan tiba-tiba jatuh dari tempat duduk di luar Ruang Berlepas betul-betul bersebelahan laluan masuk Pintu B07.

Wanita Eropah ini dengan pasangannya seorang Lelaki Eropah yang kurang upaya (spastik) baru sahaja tiba dari London dan dalam perjalanan seterusnya ke Pulau Pinang. Kedua-dua mereka dianggarkan berusia awal 40an. Kejadian tersebut berlaku hanya dalam jarak beberapa kaki sahaja di hadapan saya. Menyangkakan sudah tentu ada tindakan yang akan diambil oleh kakitangan MAS yang bertugas, saya hanya membiarkan kejadian tersebut dan hanya memandangnya dari kedudukan saya.

Saya mula mencurigai tindakan yang bakal diambil oleh lima orang kakitangan MAS ini memandangkan betapa kekoknya mereka cuba mengangkat mangsa ke dalam Ruang Berlepas dibaringkan dan hanya dibiarkan di atas barisan kerusi yang ada.

Dari pemerhatian saya tiada sebarang pengenalpastian awal yang dbuat oleh mana-mana kakitangan MAS untuk menentukan sama ada mangsa mempunyai masalah-masalah kesihatan seperti serangan sakit jantung atau tekanan darah tinggi ataupun penghidap diabetes yang mengalami hypoglycemia.

Mangsa hanya tidak sedarkan beberapa saat sahaja. Apabila beliau sedar, mangsa sedikit meronta-ronta (sebenarnya cuba merenggangkan kaki) dan hampir terjatuh dari baringannya. Pada ketika ini saya menyangkakan mangsa mungkin seorang yang mengidap epilepsy. Bagaimanapun mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda kancing gigi dan gengaman jari.

Melihatkan tiada seorangpun dari lima kakitangan MAS ini memberi sebarang bentuk pertolongan cemas kepada mangsa ini, sebagai seorang yang terlatih dan biasa terlibat dalam beberapa kejadian kemalangan, saya membuat keputusan untuk membantu mangsa.

Saya cuba mendapatkan sebarang alas untuk kepala mangsa supaya kedudukan kepalanya lebih tinggi dari badannya dan oleh kerana mangsa menggigil (mungkin kesejukan), saya cuba mendapatkan apa-apa peralatan yang boleh digunakan untuk menyelimutkan mangsa. Malangnya kaunter Ruang Berlepas tersebut tiada sebarang peralatan yang boleh digunakan.

Pasangan mangsa cuba menerangkan sesuatu tetapi penuturannya menyukarkan saya dan seorang lagi orang awam bangsa Cina yang prihatin untuk memahaminya. Dari gerakan tangannya, akhirnya saya dapat mengagak dia menunjukkan bekalan ubat yang dibawa. Bagaimanapun ubat yang dibawa berupa hanya sebiji kapsul berwarna putih, sebiji kapsul berwarna putih/merah dan sebiji pil bujur berwarna keperangan. Ini menunjukkan ubat-ubatan ini lebih kepada persediaan untuk serangan penyakit tertentu dan bukannya ubat untuk pengambilan berkala.

Saya membantu pasangan mangsa (seorang OKU spastik) yang kesukaran untuk mengambil ubat-ubatan ini disebabkan jari dan tangannya yang kejang. Mujurlah juga dalam beg komputer yang saya bawa masih terdapat satu lagi botol air mineral hotel yang masih belum lagi digunakan. Di kaunter Ruang Berlepas dan sekitarnya tiada kemudahan air mineral atau air minuman kecuali dari ”dipenser machine” dan ”drinking water fountain machine”.

Saya menggunakan jaket pasangan mangsa untuk menyelimutkan mangsa. Mangsa yang pulih sudah memberi respon terhadap beberapa pertanyaan asas dari saya. Saya mengagak mangsa keletihan akibat berbelas jam dalam penerbangan dari London. Mangsa juga hanya mengambil ”light meal” di atas kapal terbang sekitar tiga jam sebelum kejadian berlaku.

Hampir 30 minit, doktor yang dipanggil masih belum menunjukkan rupanya. Mangsa mula mengigil semula. Kedua-dua tapak tangannya mula pucat. Saya mengosok kedua-dua tapak tangannya. Mangsa lagi masih mengigil. Saya meminta pasangannya menghimpit dan memeluk mangsa tetapi beliau hanya mampu menghimpit mangsa, beliau tidak mampu memeluk mangsa.

Saya mengambil keputusan untuk memeluk mangsa seketika sambil mengosok-gosok bahu dan belakangnya sehinggalah beliau mula merasa selesa dan tidak lagi mengigil kesejukan.

Doktor tiba hanya selepas 30 minit kejadian berlaku. Saya memaklumkan beberapa kronologi kejadian termasuklah dakwaan pasangan mangsa yang kepala terhantuk besi penghadang laluan.

Saya harap doktor muda (rasanya dari Hospital Pusrawi berdasarkan label yang tertera pada baju jururawat pengiring) itu mempunyai rasionalnya sendiri apabila membuat penganalisa mangsa HANYA berdasarkan maklumat saya sebab beliau langsung tidak menyentuh mangsa, tidak membuat pemeriksaan tekanan darah mangsa dan tidak memeriksa kadar denyutan nadi mangsa.

Bagaimanapun saya bersetuju dan membantu memujuk pasangan ini agar menangguhkan penerbangan mereka supaya pemeriksaan lanjut boleh dibuat di klinik.

Sepatutnya mangsa dipindahkan terus ke klinik tetapi kakitangan MAS (termasuk doktor!) masih mengambil masa berbincang sesama sendiri berkaitan dengan passport dan juga bagasi pasangan ini yang sudah dimuatkan dalam kapalterbang. Mangsa mula mengigil semula, saya terpaksa meminta doktor ini mencepatkan pemindahan mangsa ke klinik.

Dari kronologi kejadian yang berlaku, sebagai pintu masuk ke negara ini dan didakwa sebagai bertaraf antarabangsa, kakitangan MAS yang bertugas sepatutnya terlatih dan mempunyai pengetahuan asas untuk bertindakbalas memberi respon pertolongan cemas awal untuk kejadian-kejadian seumpama ini. Di samping itu setiap Ruang Berlepas ataupun di setiap suduT tertentu perlu adanya peralatan-peralatan asas yang boleh digunakan untuk kejadian-kejadian yang tidak diingini sebelum mendapat bantuan dari pegawai perubatan yang bertauliah.

Semasa kejadian berlaku, saya ternampak beberapa kakitangan MAS menyorong kerusi roda dan membantu penumpang-penumpang warga emas dan kurang upaya. Bagaimanapun saya pasti kakitangan-kakitangan MAS hanya tahu menyorong kerusi roda sahaja kerana kesemuanya mereka ini hanya memerhatikan sahaja kejadian ini berlaku tanpa menawarkan diri untuk membantu.

Bukan minta diharga, kejadian yang berlaku rasanya hanya dipandang kecil oleh kakitangan MAS yang berrtugas di Ruang Berlepas Pintu 7 KLIA tersebut. Tiada sebarang ucapan terima kasih yang saya terima. Mujurlah ucapan terima kasih dari ramai penumpang-penumpang yang lain ”menyejukkan” hati saya terutama dari seorang wanita Cina tua yang tidak dapat membayangkan jika mangsa itu adalah beliau sendiri dan jika tiada sesiapa yang boleh dan tahu memberi bantuan pertolongan cemas awal kepadanya.

Sebelum dipindahkan.mangsa dan pasangannya berkali-kali mengucapkan ucapan terima kasih mereka. Malah mangsa masih mengenggam erat kedua-dua tangan saya sewaktu membantunya duduk di atas kerusi roda. Manakala pasangan mangsa yang mengalami kesukaran untuk bertutur akibat kecacatan spastiknya cuba berkata sesuatu sehingga berhamburan air liurnya. Saya hanya cuma mampu tersenyum dan mengangguk kepala kepada mereka berdua.

Persoalan ini perlu dan mesti dijawab oleh pihak pengurusan MAS KLIA – adakah kakitangannya tidak bersedia atau tidak terlatih?

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment