Friday, January 23, 2009

Hazad di Kedai Runcit



Pembantu kedai nyaris kudung
Utusan Malaysia, 23-Januari-2009

KUANTAN 22 Jan. – Seorang pembantu kedai wanita warga Indonesia nyaris kudung sebelah tangan apabila tangan kirinya termasuk ke dalam sebuah mesin penghancur tempurung kelapa dalam satu kejadian di Indera Mahkota Dua di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.00 petang itu, mangsa Seri Lestari, 34, dilapor sedang mengendalikan mesin penghancur berkenaan yang berfungsi menghancurkan tempurung kelapa bagi mendapatkan isi kelapa untuk diparut.

Tangan kiri mangsa bagaimanapun dipercayai termasuk ke dalam mesin berkenaan apabila sarung tangan yang dipakainya tersangkut pada pengisar yang terdapat di dalam mesin penghancur tempurung kelapa tersebut.

Namun, tangan mangsa berjaya diselamatkan apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.

Jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang berkata, sebuah jentera bomba bersama lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian sejurus mereka menerima maklumat daripada orang awam.

‘‘Kami terpaksa mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum dapat mengeluarkan tangan mangsa yang termasuk ke dalam mesin itu hingga ke lengan.

‘‘Peralatan memotong besi juga terpaksa diguna bagi menanggalkan komponen mesin berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Jurucakap terbabit berkata, kerja meleraikan komponen mesin penghancur tempurung kelapa itu terpaksa dilakukan dengan teliti ekoran tangan mangsa dibenam oleh pengisar mesin yang tajam itu.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian pergelangan tangan dan dikejarkan ke Unit Kecemasan HTAA untuk rawatan lanjut.

Utusan Malaysia difahamkan, mangsa merupakan seorang ibu tunggal yang datang berkerja di negara ini sejak dua tahun lalu manakala kesemua anaknya masih berada di Indonesia.


Nyaris kudung
Harian Metro, 23-Januari-2009

Tangan pembantu kedai tersepit jentera penghancur tempurung kelapa.

KUANTAN: Seorang pembantu kedai warga Indonesia, nyaris kudung sebelah tangan akibat diputar mesin menghancur tempurung kelapa di Indera Mahkota Dua, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.05 petang itu, mangsa dikenali Seri Lestari, 34, dikatakan sedang mengendalikan mesin berkenaan bagi menanggalkan isi kelapa sebelum diparut.

Difahamkan, mesin mekanikal berkuasa elektrik itu memutarkan dua bilah keluli menyerupai mata gergaji bagi menghancurkan tempurung kelapa sudah dibuang sabut sebelum isinya dihancurkan menjadi santan.

Tangan kiri mangsa dikatakan ditarik masuk ke dalam mesin itu apabila bilah keluli yang berputar itu terkena hujung jari sarung tangan dipakai mangsa.

Berikutan itu, mangsa terus mengerang kesakitan sambil berlumuran darah di ruang pemprosesan santan di belakang kedai runcit berkenaan sebelum berjaya diselamatkan selepas didengari orang ramai yang kemudian segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.

Anggota Bomba dan Penyelamat tiba lima minit kemudian bersama pasukan perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi membantu mangsa yang hampir pengsan menahan kesakitan di ruang sempit.

Jurucakap JBP Pahang ketika dihubungi berkata, sebuah jentera bomba bersama lima anggota, mengambil masa 40 minit mengeluarkan tangan mangsa dari dalam mesin berkenaan.

“Peralatan memotong besi terpaksa digunakan bagi menanggalkan komponen mesin berkenaan selepas semua bekalan elektrik diputuskan bagi mengelak terkena kejutan elektrik.

“Kerja meleraikan komponen mesin itu terpaksa dilakukan dengan teliti emandangkan tangan mangsa tersangkut pada mata mesin yang tajam.

“Dengan bantuan pasukan perubatan HTAA, mangsa dapat ditenangkan dan mengalami kecederaan serius pada pergelangan tangan dan dikejarkan ke Unit Kecemasan HTAA untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa, seorang ibu tunggal dikatakan datang bekerja di negara ini sejak dua tahun lalu.


No comments:

Post a Comment