Tuesday, January 6, 2009

Ciri selamat The Gardens




Ciri selamat The Gardens
fatiminadiah.zainudeen@kosmo.com.my, 6-Jan-08

Bagaimana menilai hotel bertaraf lima bintang? Di The Gardens Hotel & Residences, kami temukan jawapan pada kualiti sistem keselamatannya.

KATIL yang empuk, ruang yang luas, perabot yang ringkas dan kebersihan yang terjaga memang mudah ditemui, rata-ratanya di hotel bertaraf dua bintang ke atas.

Namun, di The Gardens Hotel & Residences, perhatian kami dicuri oleh kecanggihan sistem keselamatannya.

Menggunakan sistem imbasan kad kunci untuk membenarkan tetamu masuk, kad itu cukup sekadar diimbaskan pada tombol pintu.

Dari dalam, pada tombol pintunya juga terdapat punat untuk arahan 'Jangan Ganggu'. Dengan hanya menekannya, lampu merah akan berkelip pada tombol dan tiada siapa dapat melepasi pintu bilik kecuali pemegang kad atau pengurus hotel yang memegang kunci utama.

Bagaimanapun, tanpa melepaskan punat tersebut, tetamu dapat membuka pintu dari dalam, terutama semasa kecemasan.

Pada dinding bersebelahan pintu ini juga dipasang suis berarahan yang sama dan suis permintaan untuk dikejutkan pada pagi keesokannya.

Apabila diaktifkan iaitu ditekan seperti suis lampu, label berlampu akan dihidupkan pada dinding di luar pintu.

Sepanjang label berlampu untuk arahan 'Jangan Ganggu' menyala, loceng yang ditekan di luar bilik juga tidak akan kedengaran!

Jika kebanyakan hotel meletakkan rak bagasi mereka pada bukaan pintu utama, hotel yang menyasarkan pelanggan perniagaan dan korporat ini memilih untuk meletakkannya di bahagian yang lebih tersorok.

Diletakkan di sudut paling hujung ke dalam, sebaris dengan peti televisyen, tetamu tidak perlu risau memikirkan barang-barang mereka lagi.

Sebagai hotel yang berasaskan perniagaan dan korporat, rekaan dalamannya tentulah lebih cenderung kepada konsep ringkas dan moden.

Namun hotel yang terletak bersebelahan dengan pusat beli-belah Mid Valley Mega Mall ini tidak menghampakan tetamunya apabila ia mereka tempat menyimpan barang bercermin terlindung pada meja utama, bersebelahan dengan set televisyen.

Tidak perlu sentiasa mengemas meja mekap setiap kali hendak keluar berurusan, tempat menyimpan barang ini memastikan barang-barang mekap dan perhiasan diri tidak terdedah kepada mata umum.

Menggunakan kemasan kayu berwarna coklat cerah, pintu bilik airnya juga diperbuat daripada materi yang sama, menjadikannya umpama salah satu pintu ke almari baju.

Biarpun berlantai marmar, bilik air hotel ini dilengkapi dengan kemasan bebas gelincir, memastikan tetamu sentiasa selamat walau bagaimana mereka memijaknya.

Menariknya, sistem paip airnya dilengkapi dengan bukan dua, tetapi tiga tombol. Satu untuk membuka paip air panas dan satu lagi untuk air sejuk, manakala satu lagi berfungsi untuk menutup kedua-duanya.

Bukan hanya selamat, rekaan dalamannya juga memastikan tetamu dapat memaksimumkan masa mereka di bilik ketika berehat daripada urusan perniagaan.

Menyelaraskan bilik airnya dengan bukaan pintu yang tepat menghala ke arah kedudukan televisyen, pergerakan aliran saham mahupun perkembangan semasa dunia perniagaan dapat diperhatikan sepanjang masa tetamu mempersiapkan diri di dalam bilik air.

Hotel pertama yang beroperasi sebagai hotel tanpa rokok ini juga dilihat sentiasa mempertimbangkan alam sekitar.

Mengingatkan tetamu supaya membiarkan tuala pada tempat gantung jika mahu dipakai semula, atau meletakkan kad hijau di atas katil jika hendak cadarnya ditukar, sekali gus mengelakkan pembaziran air untuk membasuh tuala yang masih boleh digunakan semula.

No comments:

Post a Comment