TREND KINI: Berkaraoke dalam bilik kecil jadi kegilaan remaja sekarang boleh mendatangkan bahaya kepada pendengaran.
Hiburan dengan bayaran RM1 boleh jejas deria pendengaran dalam jangka panjang
Oleh Azrul Affandi Sobry, Berita Harian, 8-Julai-2008
BERBALOI atau tidak? Bayar RM1 untuk berhibur dengan kos rendah, tetapi kesannya mampu menjadikan diri merana untuk satu jangka masa panjang. Mana lebih penting, kepuasan melalak atau menjaga deria kurniaan tuhan? Itulah persoalan yang wajar diberi perhatian apabila membicarakan trend masyarakat kini yang gemar memilih pelbagai alternatif hiburan dengan kos rendah, namun pada masa sama mengetepikan pelbagai risiko yang kemungkinan berbangkit pada kemudian hari.
Kegilaan berhibur dengan kos rendah kini menular pula kepada satu alternatif hiburan yang bukan baru tetapi semakin mendapat sambutan iaitu pusat karaoke mini atau lebih popular dengan gelaran karaoke ‘jamban’ oleh kebanyakan generasi muda.
Konsep hiburan itu dirasakan amat berbaloi bagi mereka kerana dengan membayar sebanyak RM1 bagi sebuah lagu, kepuasan yang dinikmati dirasakan mencapai tahap maksimum, apatah lagi apabila dalam ruang sempit sebesar tandas awam, pengunjung bebas melalak tanpa ada batasan.
Namun, tanpa sedar, pengunjungnya tidak tahu sebenarnya mereka menempah bala yang akan merampas deria pendengaran selepas satu tempoh menjadikan hobi itu sebagai rutin, malah kewajipan pada setiap minggu, bersantai sambil memekak.
BILIK SEMPIT: Pusat karaoke mini menjadi tumpuan generasi muda.
Ia bukan omong kosong kerana faktanya terserlah hasil tinjauan wartawan Berita Harian bersama ahli audiologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Mohd Almyzan Awang, ke beberapa pusat karaoke ‘jamban’ di pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur.
Menggunakan alat pengukur paras bunyi, bacaan terhasil menunjukkan angka memeranjatkan iaitu mencecah hampir 120 desibel (dB), satu paras bunyi yang menurut Mohd Almyzan melampaui keupayaan pendengaran manusia biasa.
Apa tidaknya, kata beliau, gegendang telinga manusia hanya mampu menampung bunyi sehingga 80dB dan apa saja bunyi yang melebihi paras itu diklasifikasikan sebagai berbahaya dan mampu meragut deria pendengaran, sama ada sementara atau kekal selamanya.
Malah, katanya, keadaan dalam karaoke ‘jamban’ lebih mengundang risiko tinggi berbanding pendedahan kepada bunyi kuat di tempat lain kerana di situ, pengunjung akan berada dalam satu ruang sempit dan tiada elemen lain yang mampu menyerap bunyi kuat itu selain tubuh individu itu sendiri.
TEKNOLOGI: Alat pengukur bunyi menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya.
“Pertama kali melangkah masuk ke sini (karaoke jamban), saya sudah dapat mengagak paras bunyinya pasti melebihi 80dB. Memeranjatkan apabila meter menunjukkan bacaan sehingga 120dB. Ia paras bunyi yang melampau dan pasti memberi kesan buruk kepada sistem pendengaran.
“Lebih memburukkan keadaan, sistem peralatan audio di sini tidak diselenggara dengan baik menyebabkan bunyinya lebih membingitkan. Ia sekali gus menambahkan lagi risiko kepada sesiapa saja yang berada dalam bilik ini pada satu tempoh lama. Mendengar dua lagu pun sudah membuatkan sistem badan saya tidak dapat bertahan,” katanya selepas melakukan ujian itu di pusat beli-belah Kompleks Pertama di ibu negara.
Ujian paras bunyi dibuat membabitkan pelbagai jenis genre lagu termasuk rancak dan perlahan, namun kesemuanya memberikan bacaan sehingga melebihi 100dB sekali gus menunjukkan apa saja lagu yang dimainkan di situ tetap mendatangkan risiko kepada pendengaran.
Bagi mengulas lanjut hasil ujian itu, Berita Harian mendapatkan pandangan Dekan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Datuk Dr Lokman Saim yang juga pakar telinga di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Dr Lokman berkata, sekiranya hasil ujian itu diambil kira, pengunjung karaoke ‘jamban’ yang meluangkan masa sekurang-kurangnya dua jam seminggu di situ akan kehilangan pendengaran secara kronik selepas lima atau enam tahun mengamalkan hobi itu secara berterusan.
Malah, sebenarnya, kekurangan deria pendengaran akan mula dialami selepas setahun, namun tidak akan disedari kerana ia hanya menyebabkan ketidakupayaan mendengar atau memahami bunyi berfrekuensi tinggi antara 4,000 hingga 8,000 hertz (Hz) seperti ‘sh’ dan ‘sy’.
“Di negara ini, penggunaan bahasa Melayu tidak banyak menggunakan sebutan berfrekuensi tinggi berbanding bahasa lain di seluruh dunia. Justeru, kekurangan pada pendengaran kurang dirasai meskipun sudah mula berlaku selepas setahun mengamalkan hobi itu.
“Namun, selepas lima tahun, kekurangan itu akan dirasai secara serius kerana ketika itu deria pendengaran tidak mampu memahami sebutan berfrekuensi rendah (di bawah 2,000Hz) walaupun dituturkan dengan nada pertuturan atau perbualan biasa.
“Ketika itu, individu akan mula terasa kurang pendengaran dan tidak jelas dengan sebutan pertuturan orang lain. Apabila sampai ke tahap itu, ia sudah dikira kronik dan boleh didefinisikan sebagai pekak,” katanya.
Beliau berkata, jika hobi itu masih diteruskan, risiko untuk kehilangan pendengaran kekal pada tahap yang lebih teruk akan berlaku sekali gus menyebabkan individu akan lebih awal mengalami sindrom pekak berbanding manusia normal yang secara kebiasaannya mengalami masalah itu selepas usia 80 tahun.
Justeru, beliau berkata, sebagai langkah pencegahan, pihak berkuasa perlu menetapkan satu garis panduan paras bunyi yang dibenarkan bagi mengurangkan risiko kurang pendengaran di kalangan rakyat negara ini selain memberi kefahaman bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya mengunjungi karaoke ‘jamban’ secara kerap.
“Orang ramai juga digalak melakukan ujian pendengaran sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan tahap pendengaran sentiasa baik kerana dikhuatiri kehilangan deria itu secara perlahan tanpa disedari.
“Lebih utama lagi, masyarakat perlu sedar bahawa kebanjiran media hiburan yang semakin banyak ketika ini turut mengundang kepada risiko hilang keupayaan mendengar lebih cepat berbanding generasi sebelum ini,” katanya.
Oleh itu, sekiranya diamati semua pandangan dan keputusan ujian yang turut dirasai sendiri wartawan Berita Harian, sewajarnya perkara ini tidak boleh dipandang remeh atau sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri (selagi mampu mendengar).
Sewajarnya satu tindakan segera diambil sama ada membabitkan pihak berkuasa atau masyarakat itu sendiri untuk memastikan tahap kesihatan rakyat di negara ini tidak dirosakkan oleh konsep hiburan yang sebenarnya boleh dikawal dan dihadkan.
Pastinya tidak berbaloi deria pendengaran dijadikan korban dengan bayaran semurah RM1 sedangkan hakikat yang perlu diterima semua pihak, kurniaan itu jauh lebih mahal dan berharga serta perlu dipelihara selagi berupaya.
Muzik terlalu kuat boleh cetus tekanan
MELANGKAH masuk ke ruang legar pusat karaoke mini atau karaoke ‘jamban’, situasi pertama yang dirasai wartawan Berita Harian dan ahli audiologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Mohd Almyzan Awang, ialah bunyi bingit yang melimpah sehingga kedengaran di kaki lima luar premis.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana agaknya keadaan mereka yang sedang leka melalak dalam bilik sempit itu. Pastinya lebih perit lagi menahan sakit telinga tetapi mungkin semua kesakitan itu tenggelam lantaran keasyikan mendendangkan lagu.
Senario itu bukan saja dirasai wartawan Berita Harian, malah rupa-rupanya turut dirasai Almyzan, beberapa pengunjung serta peniaga di premis berhampiran.
Berada dalam ruang kotak sempit, telinga sudah dihambat kebingitan meskipun tiada sebarang lagu dipilih. Semuanya kerana muzik bising yang datang dari bilik sebelah, selain muzik latar yang yang dimainkan sementara menunggu lagu dipilih.
Keadaan menjadi lebih menyakitkan apabila sesekali bunyi muzik itu seakan pecah kemungkinan disebabkan sistem audio tidak diselenggara dengan sempurna terutama apabila pembesar suara mengeluarkan bunyi nyaring disebabkan gema dari mikrofon.
Pastinya senario itu menjadi lebih buruk apabila lagu yang dipilih mula dimainkan. Terasa seakan telinga ditusuk, sakit dan mengilukan. Baru saja menyanyikan sebuah lagu, terasa kepala berpinar dan jantung pantas berdegup, menggambarkan betapa tubuh tidak mampu menampung pekik bunyi yang sangat melampaui batas.
< Mulanya, disangkakan keadaan itu hanya dirasai jika menyanyikan lagu ‘rock’ tetapi apabila lagu perlahan dipilih keadaannya tetap sama, sakitnya masih terasa dan pedih di telinga makin menjadi-jadi.
Akhirnya, selepas dua lagu dan hasil ujian diperoleh, wartawan Berita Harian dan Almyzan mengambil keputusan untuk keluar dengan segera, tambahan apabila merasakan mata sudah berpinar, petanda kepala sudah terasa pening.
Itulah gambarannya sepanjang beberapa minit ujian itu dijalankan sekali gus menggambarkan betapa konsep hiburan di karaoke ‘jamban’ lebih banyak mengundang tekanan serta keburukan berbanding nikmat hiburan yang diperoleh.
Pendapat itu turut dikongsi beberapa pengunjung yang sudah beberapa kali mengunjungi pusat karaoke mini itu.
Seorang pengunjung, Fazwan Fauzi, 24, berkata dia jarang memilih untuk berhibur di karaoke ‘jamban’ kerana tidak tahan dengan bunyi bingit dalam bilik sempit itu.
“Saya mengunjungi tempat ini sebulan sekali. Itu pun hanya mampu bertahan untuk lima lagu. Kalau lebih daripada itu, kepala akan terasa pening dan ada kalanya rasa loya. Pernah juga bunyi muzik terngiang-ngiang berjam-jam lamanya sehingga sampai ke rumah,” katanya yang ditemui di sebuah pusat karaoke mini di Kuala Lumpur.
Bagi Azila Mohamad, 24, pula ada ketikanya dia berasa sakit dada selepas keluar dari bilik karaoke itu meskipun hanya selepas menyanyikan tiga lagu.
“Mustahil saya mampu bertahan dalam tempoh lebih lama. Saya yakin berada lama dalam bilik ini boleh menyebabkan saya kurang daya pendengaran. Bunyi muziknya memang menyakitkan telinga, namun diakui ia adalah alternatif hiburan yang murah,” katanya.
Seorang peniaga kain di Kompleks Pertama yang enggan namanya disiarkan berkata, bunyi bising dari pusat karaoke mini di situ sering mengganggu keselesaan mereka serta pelanggan meskipun jarak premisnya dan pusat hiburan itu agak jauh.
No comments:
Post a Comment