Tuesday, March 25, 2008

Pesawah perlu belajar dan diajar


(Kesesuaian Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) adalah meliputi semua jenis pekerjaan (occupational) termasuklah petani, nelayan dan sebagainya. Ini bermakna majikan dan pekerja di dalam bidang-bidang ini tertakluk dalam peruntukan sedia ada kepada tanggungjawab masing-masing.)

Sudah hampir 10 bulan saya menyusuri Lebuhraya Utara Selatan dari Taiping ke Changlung pada setiap hujung minggu. Susur yang amat saya sukai ialah selepas R&R Gurun iaitu Daerah Pendang hinggalah ke Jitra di mana saujana sawahnya amat menyentuh hati saya. Pada awal Jun tahun lepas ketika saya baru menjawat jawatan di UUM ini, di susur ini saya disambut dengan bau tanah baru digembur. (Kebiasaannya saya menurunkan tingkap cermin kereta ketika di susur ini!). Kemudian bau baja mengiringi anak benih disemai dan ketika pucuk mula menjulur. Ketika daun padi mula mendampar hijau terbau pula racun serangga.

Akhir sekali saya akan membau tengik jerami dibakar menandakan sudah lengkap pusingan hidup padi yang ditanam. Malah saya sudah dua kali terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas kerana asap tebal kebakaran ini. Mujurlah ada anggota penyenggaraaan Plus cepat bertindak mengawal lalu lintas. Kalau tidak mungkin akan berlaku seperti di awal tahun 2000 an dahulu di mana berbelas-belas kereta yang berlanggar sesama sendiri di dalam kesesakan kerana asap tebal ini.

Kini pusingan hidup padi akan bermula lagi. Ketibaan saya pagi tadi disambut dengan bau selut dan lecak.

Petani dan orang ramai akan berdepan lagi dengan hazad racun dan bahaya kebakaran. Siratan kali ini akan menyentuh mengenai hazad bahaya kebakaran ini.

Keputusan pihak Plus memasang papan tanda amaran seperti di atas menunjukkan risiko (bukan hazad) bahaya kebakaran di susur ini tidak dapat dielakkan. Walaupun kebakaran terbuka adalah ditegah tetapi ini adalah cara tradisional dan paling pratikal serta ekonomikal (setakat ini) yang terus dijalankan oleh pesawah-pesawah ini.

Sementara menunggu cara alternatif lain, pesawah-pesawah (dan majikan mereka jika berkaitan) ini perlu belajar dan diajar mengenai Sains Kebakaran. Tidak dinafikan pesawah-pesawah ini ada mengambil beberapa langkah keselamatan sebelum dan semasa mereka mengadakan pembakaran terbakar ini. Mungkin naluri semula-jadi ditambah dengan pengetahuan yang diajar, pesawah-pesawah ini saya dapati melakukan perkara-perkara berikut;

1. Memisahkan bahan bakar yang merebakkan api secara pengaliran (conduction) dan sinaran (radiation), di mana jerami-jerami padi ini dibakar dalam batas-batas yang terpisah,
2. Pembakaran di lewat petang, ketika pergerakan angin kurang atau perlahan,
3. Mengadakan kawalan (fire watcher), dan sebagainya.

Bagaimanapun langkah-langkah ini perlu ditambahbaikan seperti;

1. Penandaan pergerakan angin. Pihak Plus sepatutnya bukan sahaja memasang papan tanda amaran kawasan pembakaran terbuka tetapi perlu memasang bendera penandaan pergerakan angin.
2. Kawalan secara personnel sehaja tidak mencukupi perlu peralatan melawan kebakaran jika api tidak bioleh dikawal. Mungkin diperlukan kereta bomba bersaiz kecil.
3. Langkah-langkah lain yang difikirkan perlu.

Semoga alternatif lain yang memungkinkan jerami ini dikitarkan untuk menghasilkan produk yang membolehkan bukan sahaja pesawah-pesawah ini dapat menghapuskan (elimination) hazad bahaya kebakaran ini, malah boleh menambah pendapatan mereka jika jerami ini boleh dijual dan dikomersial.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Nota tambahan;
Api akan terjadi jika terdapatnya gabungan bahan bakar (fuel), oksigen (02) dan haba (heat), rangkaian ini dikenali sebagai Segitiga Pembakaran. Api merebak secara pengaliran (conduction), sinaran (radiation) dan olakan (convection). Rebakan secara pengaliran dan sinaran boleh diatasi secara memisahkan salah satu dari tiga rangkaian ini. Rebakan secara olakan (dari dan ke pelbagai medium) adalah jenis rebakan yang agak sukar untuk dihentikan.

No comments:

Post a Comment