Monday, March 17, 2008

Adakah rumah yang anda diami sekarang ini selamat?

Siratan asal 7-Januari-2008, http://thejourney.weblog.uum.edu.my/

Bulan lepas seorang bekas guru perempuan dibunuh di rumahnya sendiri yang terletak hanya 3 km dari rumah saya di Taiping. Dilaporkan bekas guru ini yang tinggal berseorangan ditikam oleh seorang perompak yang memasuki rumahnya.

Tahun lepas bekas Ketua Polis Pulau Pinang mati ditikam di dalam satu cubaan merompak di dalam rumahnya.

Dua situasi yang berbeza di atas, situasi pertama seorang bekas guru yang tinggal berseorangan. Manakala situasi kedua, seorang bekas Ketua Polis yang tinggal bersama keluarga.

Penjenayah sekarang ini tidak menghiraukan masa. Penjenayah kecil-kecilan yang terdesak sanggup berbuat sahaja sehinggakan membunuh menjadi mainan mereka.

Dari keratan akhbar;
Pensyarah Unisel mati ditikam perompak

SHAH ALAM 7 Dis. – Seorang pensyarah teknologi maklumat di Universiti Industri Selangor (Unisel) mati setelah cedera ditikam ketika bergelut dengan seorang daripada tiga lelaki yang memecah masuk rumahnya di Jalan Bakti, Simpang Tiga, Ijok, Kuala Selangor dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Abd. Rahman Rahmat, 38, mengalami kecederaan parah di bahagian tengkuk dan tangan selepas dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.

Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Ibrahim Chin berkata, ketika rumah dipecah masuk melalui pintu belakang, mangsa sedang membaca buku di bilik bacaan rumah batu setingkat miliknya.

Beliau berkata, isteri dan lima anaknya yang berusia antara dua bulan hingga empat tahun sedang tidur.

Menurut beliau, mangsa yang terdengar bunyi bising di dapur pergi untuk memeriksa dan terserempak dengan lelaki-lelaki yang memecah masuk rumahnya.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dengan seorang lelaki sementara dua yang lain dipercayai menggeledah rumah mangsa. Mangsa cedera parah ditikam di tengkok dan tangan dalam pergelutan itu.

"Bagaimanapun, isterinya berusia 29 tahun dan kesemua anaknya tidak dicederakan," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Ibrahim memberitahu, siasatan awal polis mendapati, perompak hanya berjaya mengambil wang tunai sebanyak RM50 daripada dompet mangsa sebelum melarikan diri.

"Kita percaya terdapat lebih daripada seorang suspek yang terlibat dalam kejadian ini dan kesemua suspek hanya mengambil masa kurang 20 minit untuk menggeledah rumah mangsa sebelum menyamun wang tunai RM50 itu," katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek sukar dikenal pasti kerana muka mereka ditutup dengan kain.

Sementara itu isteri mangsa, Halimah Tairin, 29, berkata: "Saya ingat suami saya ingin bergurau tapi rupa-rupanya yang kejutkan saya itu adalah salah seorang perompak yang bunuh suami saya''.

Ibu itu berkata, pada mulanya, dia menjangka perompak itu suaminya kerana perompak tersebut menutup muka dengan baju anak sulungnya.

Bagaimanapun, katanya, dia menjadi takut apabila perompak itu mengeluarkan parang dan menyuruhnya diam sambil berkata, 'Ini rompakan'.

"Selepas beberapa minit, perompak itu keluar dari bilik sambil mengambil telefon bimbit dan beg tangan yang mengandungi duit RM50," kata Halimah yang juga seorang suri rumah.

Dia kemudian mendengar jeritan suara lelaki menyebut 'Lailahaillallah' dan kemudian senyap.

Kakitangan KLIA mati ditikam penyamun

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Seorang kakitangan perkhidmatan pelanggan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mati ditikam dalam kejadian samun kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Saujana Impian, Kajang dekat sini malam tadi.

Mangsa, Irmaliana Irazal, 21, yang ditemui dengan satu tikaman pada rusuk kiri meninggal dunia dalam perjalanan ketika dihantar ke Hospital Serdang, kira-kira pukul 10.30 malam.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama ibunya, Rosnah Abdul Aziz, 41, dalam perjalanan pulang dari kedai serbaneka 7-Eleven berhampiran rumahnya dengan menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Nizam berkata, dalam perjalanan itu, mangsa diekori dua orang suspek yang juga menaiki motosikal.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai polis meminta mangsa menunjukkan kad pengenalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Rosli, bagaimanapun ibu mangsa yang curiga sebaik melihat parang dalam raga motosikal suspek menyuruh anaknya melarikan diri.

Katanya, kedua-dua beranak itu meninggalkan motosikal di tempat kejadian sebelum lari memasuki rumah jirannya.

Bagaimanapun, tambah beliau, mangsa berpatah balik untuk mengambil dompet yang ditinggalkan dalam raga motosikalnya itu.

"Apabila keluar dari rumah, ibunya melihat mangsa rebah di tempat kejadian dan motosikalnya didapati hilang dipercayai dicuri suspek," ujarnya.

Menurut Rosli, Irmaliana bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal, polis percaya motif kejadian adalah samun.

"Polis kini sedang memburu kedua-dua lelaki itu dan sedang mengenal pasti motosikal yang dilarikan suspek dalam kejadian tersebut," katanya.

Tambah Rosli, sehingga kini, tiada senjata ditemui di tempat kejadian dan kawasan berhampiran.

"Malah, ketika kejadian, tiada saksi yang berada di kawasan tersebut untuk mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal ditunggang suspek," jelasnya.

Beliau memberitahu, polis yakin suspek adalah warga tempatan dan tidak mengenali mangsa.

Tambahnya, laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat ditikam menggunakan senjata tajam sedalam hampir 15 sentimeter.

Mangsa yang merupakan belas pelajar program Diploma Perakaunan Kolej Universiti Teknologi & Pengurusan Malaysia (KUPTM) itu merupakan anak sulung daripada enam beradik.

Jenayah Allahyarham dituntut keluarganya kira-kira pukul 2.30 petang di Hospital Serdang dan akan dikebumikan di kampung halamannya, Kampung Bukit Goh, Kuantan, Pahang selepas solat Asar.

No comments:

Post a Comment